MY LOVE, RAMADHAN
RAMADHAN : KEDATANGAN YANG DIRAI ,RAHMAT YANG MENANTI
Assalamualaikum dan salam sejahtera sebagai pembuka bicara entri kali ini. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan kesempatan menarikan tangan menukilkan sebuah penulisan dengan harapan mampu menyentuh hati yang membaca dan sekurang-kurangnya bermanfaat buat semua yang menatap. Sedar tidak sedar Ramadhan bakal berkunjung tiba beberapa hari lagi. Namun, persoalannya bersediakah kita untuk meraikan kedatangan bulan yang mulia ini?
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila bulan Ramadhan telah datang,maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan”
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah:183)
Kita sebagai orang Islam maklum bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah wajib kepada sekalian umat Islam tanpa mengira bangsa,pangkat , kuasa atau apa sahaja. Puasa adalah perintah Allah yang wajib dipatuhi dan pengecualian berpuasa ini diberikan hanya kepada golongan tertentu sahaja dengan alasan yang munasabah dan pastinya ada perkara lain yang perlu golongan-golongan ini laksanakan sebagai ganti kepada ibadah puasa terbabit.
v Perbaiki niat
- Allah berfirman, maksudnya:
“Pada hal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah dengan ikhlas mentaatiNya “ (Al-Bayyinah:5)
Persiapkan niat kita sebaik mungkin dan tiada niat yang lebih baik dan murni melainkan ikhlas kerana Allah. Jika niat asal kita berpuasa kerana ingin menyambut hari raya maka segeralah perbaiki niat kita itu agar segala amal kita di bulan Ramadhan diterima olehNya. Moga dengan niat yang baik dipermulaan Ramadhan akan memudahkan segala urusan amal ibadah kita ketika Ramadhan dari awal sehingga penghujungnya dengan izin Allah.
v Berdoa
- Doa adalah senjata orang mukmin dan doa mempunyai kuasa dan menjadi kunci atas segala perkara. Maka, sentiasa berdoa memohon keampunan daripada Allah dan perbanyakkanlah doa di bulan Ramdhan ini memohon keampunan atas segala dosa-dosa yang telah,sedang dan bakal kita lakukan kerana sebagai manusia biasa kita pastinya tidak akan terlepas daripada semua ini. Moga dengan keberkatan bulan Ramadhan,Allah menerima doa-doa kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.
v Memperbanyakkan bacaan Al-Quran
- Firman Allah,maksudnya:
“Bulan Ramadhan adalah (Bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran,sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu ,dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil)” (Al-Baqarah:185)
Istimewanya bulan Ramadhan kerana Al-Quran diturunkan ketika bulan ini dan maka kita sepatutnya memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan. Azamkan dalam diri untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran kita sepanjang bulan Ramadhan ini sekurang-kurangnya sekali . Jangan biarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa perubahan untuk menambahbaik pembacaan Al-Quran kita. Ayuh!! Semangat..
v Bersedekah
- Harus diakui bersedekah bukanlah perkara yang mudah dan bukan juga kebiasaan kebanyakan daripada kita terutama jika kita daripada golongan yang tidak berpendapatan tetap seperti seorang mahasiswa atau pun pelajar sekolah. Namun, pada bulan mulia ini, alangkah baiknya jika kita meraikannya dengan amalan bersedekah kerana ganjarannya cukup besar.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan” (Riwayat at-Tirmizi)
Kita tidak perlu kaya untuk bersedekah,cukuplah mengikut kemampuan dan seikhlas hati kita dalam memberi. Moga dengan pemberian kita yang tidak seberapa, ianya memberi manfaat yang besar buat insan lain yang memerlukan.
v Qiam
- Qiam ini membawa erti untuk menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah. Disunatkan juga untuk kita melaksanakan solat sunat Taraweh sama ada secara berjemaah mahupun sendirian. Rugi jika tidak merebut peluang ini kerana kita sedia maklum solat sunat Taraweh hanya ada pada bulan Ramadhan dan dilaksanakan sebulan sahaja dalam tempoh setahun. Selain itu, meriahkan juga malam-malam kita dengan solat sunat yang lain dan tambahkan juga amal-amal kita di waktu siang. Semoga setiap hari yang berlalu sentiasa tersisa dengan amal ibadah yang kita lakukan.
Sebagai penutup kepada kalam bicara hari ini, besar harapan semoga entri yang ditulis ini memberi manfaat kepada semua yang membaca. Ramadhan datang hanya sekali setahun dan tiada jaminan kita akan bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Maka, rebutlah setiap peluang yang datang sebaik mungkin. Manfaatkan masa yang diberikan dengan perkara yang mendatangkan faedah dan ganjaran pahala. Nilai sebaiknya betapa Allah menyanyangi kita dengan menghadiahkan Ramadhan kepada hamba-hambaNya. Bersyukurlah kerana kita masih berpeluang bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini sedangkan betapa ramai yang sudah kehilangan peluang itu. Akhir bicara, moga Ramadhan kali ini bukanlah yang terakhir.
Sumber: facebook Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment